Monday, July 20, 2009

wish him best of luck~ tibe2 t'igt ttg die n masa yg tlh blalu...


Adik KPN jadi Inspektor Percubaan


MOHAMMAD Izzat Hassan bersama bapanya Hassan Azhari (kanan) dan ibu, Maimunah Abd. Ghani pada majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Konvokesyen Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/ZULHAFIZ HANAFIAH

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 11 Julai - ''Saya mendapat inspirasi untuk memasuki polis setelah melihat kejayaan abang saya (Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan) sepanjang kerjayanya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)," kata Mohammad Izzat Hassan, 27, yang ditauliahkan sebagai Inspektor Percubaan hari ini.

Bekas graduan Teknologi Maklumat dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) itu memberitahu, ketika di bangku bangku sekolah, beliau tidak pernah terfikir untuk menyarung pakaian seragam biru tersebut.

''Tapi saya mulai jatuh cinta pada dunia kepolisan sejak melihat kewibawaan abang saya. Dia (Musa) menjadi pendorong utama saya dan berdirinya saya di sini adalah kerana dia," katanya.

Mohammad Izzat berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Konvokesyen Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Hadir sama ibu bapanya Tan Sri Hassan Azhari dan Puan Sri Maimunah Abd. Ghani.

Menceritakan pengalaman awal menyertai polis, Mohammad Izzat berkata, pada mulanya Musa tidak menggalakkan untuk menyertai polis.

Katanya, ini kerana tanggungjawab serta beban tugas dipikul oleh pegawai polis bukanlah semudah disangka malah memerlukan komitmen yang tinggi.

''Abang (Musa) cakap hanya seseorang yang benar-benar bersedia untuk memikul semua tanggungjawab di bahu sahaja boleh masuk polis.

''Kata-kata itu membuatkan hati saya terus bersemangat untuk memilih kerjaya yang dilalui oleh abang,'' katanya.

Ditanya antara pesanan orang nombor satu PDRM itu sebaik mendapat tahu adiknya mendapat tawaran untuk menjalani latihan sebagai Inspektor Percubaan itu, Mohammad Izzat berkata:

''Abang berpesan supaya jaga disiplin dan nama baik keluarga. Dia juga meminta saya supaya tidak mengharapkan apa-apa keistimewaan kerana semata-mata saya adik dia,'' katanya.

Tambahnya, meskipun jurulatih Pulapol sedia maklum mengenai latar belakang dirinya namun Mohammad Izzat tetap 'dibelasah' dan dikenakan hukuman seperti pelatih-pelatih yang lain sewaktu melakukan kesalahan.

''Saya tidak pernah diberi layanan istimewa bahkan mengikuti rutin harian seperti rakan-rakan saya yang lain,'' ujarnya.

Paling melucukan kata Mohammad Izzat, rakan sebiliknya terkejut besar apabila mengetahui beliau merupakan adik kepada Ketua Polis Negara selepas tiga bulan perkenalan mereka.

Anak ke-20 daripada 21 orang itu bercita-cita untuk mengikuti jejak langkah abangnya untuk menjawat jawatan nombor satu satu hari nanti.

''Alhamdulillah... kalau panjang umur dan dengan restu ibu bapa, saya akan ke tahap itu.

''Dan hari ini adalah hari yang paling bersejarah dalam hidup saya dan tak mungkin saya lupa tarikh ini sehingga saya pencen. 11 Julai 2009 permulaan langkah pertama saya dalam bidang kepolisan," katanya.

Sementara itu Kategori Terbaik Keseluruhan Inspektor Percubaan kali ini dirangkul oleh anak kelahiran Pulau Mutiara, Inspektor Yip Chang Ching manakala Kategori Terbaik Akademik dimenangi oleh Inspektor Yep Shao Kheng.

Kategori Terbaik Latihan Luar disandang oleh Inspektor Mohd. Zaki Ahmad dan bagi Kategori Wanita Terbaik dimenangi anak kelahiran Pahang, Che Intan Subri.

No comments: